Article Detail

Rabies

October 11, 2017

Added By :
DR FRIENKY CHONG WEI KEE

Rabies (penyakit anjing gila)

Untuk pengetahuan sekalian, penyakit Rabies ialah sejenis penyakit virus yang menyerang sistem saraf manusia. Anjing adalah pembawa utama virus Rabies tetapi haiwan domestik dan haiwan liar lain seperti kucing, monyet, kelawar, musang dan serigala juga boleh menjangkiti manusia dengan virus maut ini. Kebiasaannya, ia dijangkiti melalui gigitan dan cakaran kuku anjing Rabies. Kanak-kanak berumur 5 hingga 14 tahun adalah golongan mangsa utama Rabies.
Apabila pesakit yang dijangkiti Rabies mula menunjukkan tanda-tanda Rabies, virus ini akan membawa maut pada hampir kesemua pesakit yang dijangkiti Rabies . Akan tetapi, dengan penerimaan vaksin sejurus selepas berhubung dengan haiwan yang dijangkiti Rabies, penyakit ini dapat dielakkan dan seterusnya dapat menyelamatkan nyawa pesakit.
 
Apa yang menyebabkan Rabies di kalanagan kanak-kanak?
Virus Rabies dapat memasuki badan melalui gigitan, cakaran kuku, lukaan kulit ataupun melalui mulut dan mata. Virus ini merebak melalui air liur haiwan pembawa Rabies. Kanak-kanak boleh dijangkiti Rabies jikalau kanak-kanak digigit haiwan pembawa Rabies ataupun apabila terdapat lukaan kulit yang dijilat haiwan pembawa Rabies. Rabies juga boleh berjangkit apabila kanak-kanak menyentuh mata atau mulut dengan tangannya yang terkena air liur haiwan pembawa Rabies.
Virus ini kemudiannya memasuki sistem saraf dan apabila ia mencapai bahagian otak, ia dapat merebak melalui urat saraf ke organ-organ lain dalam badan kanak-kanak.
 
Kanak-kanak manakah yang berisiko menjangkiti Rabies?
Kanak-kanak lebih berisiko dijangkiti Rabies apabila dia menetap di kawasan atau melancong ke lokasi yang mempunyai kes Rabies.
 
Apakah tanda-tanda Rabies pada kanak-kanak?
Kanak-kanak mungkin hanya menunjukkan tanda-tanda Rabies selepas 1 minggu ke 1 tahun selepas dijangkiti Rabies. Puratanya, tanda-tanda Rabies berlaku 2 bulan selepas dijangkiti Rabies. Tanda-tanda Rabies adalah:
Peringkat awal:

  • Demam, loya, muntah, sakit kepala, kurang selera makan
  • Sakit, gatal, panas  dan kebas pada bahagian lukaan kulit
Peringkat lewat:
  • Aktif yang melampau (hyperactive)
  • Resah (Restless)
  • Perasaan takut pada air (Hydrophobia)
  • Lumpuh (Paralyzed)
  • Koma dan maut
Bagaimanakah Rabies dikesan di kalangan kanak-kanak?
Haiwan yang mengigit atau mencalar kanak-kanak dapat dikaji untuk Rabies. Jika haiwan yang dikaji didapati tiada Rabies, kanak-kanak yang digigit atau dicalar mungkin tidak memerlukan vaksin.
Kanak-kanak pula memerlukan beberapa jenis ujian untuk kenal pasti samada dia dijangkiti Rabies atau tidak. Ujiannya adalah ujian darah, air liur, sampel kulit leher (neck skin biopsy) atau pun ujian sampel air tulang belakang.
 
Bagaimanakah Rabies dirawati di kalangan kanak-kanak?
Kawasan gigitan/luka yang dijangkiti Rabies perlu dicuci dan dibersihkan secepat mungkin dengan sabun dan air, bahan pencuci atau iodin selama paling kurang 15 minit untuk membunuh virus Rabies.
Vaksin untuk Rabies perlu diberikan serta merta selepas kanak-kanak berhubung dengan haiwan yang dijangkiti and disyaki dijangkiti Rabies. Apabila tanda-tanda Rabies bermula, malangnya tiada rawatan tertentu boleh diberikan dan hanya rawatan sokongan (supportive treatment) dapat diberikan. Vaksin Rabies ini perlu diberikan untuk beberapa dos dalam tempoh masa 2 minggu pertama.
Rawatan lain adalah ubat ‘Immunoglobulin’ yang hanya perlu diberikan sekali sahaja.
 
Bagaimanakah Rabies dapat dielakkan di kalangan kanak-kanak?
  • Simpan haiwan peliharaan anda di kawasan berpagar ataupun merantaikan haiwan peliharaan apabila berada di tempat awam.
  • Berhati-hati apabila memilih haiwan pemeliharaan
  • Elakkan dari membiarkan kanak-kanak berseorangan dengan haiwan peliharaan
  • Vaksinkan haiwan peliharaan dengan vaksin Rabies
  • Elakkan haiwan peliharaan berhubungan dengan haiwan liar
  • Mengajar anak tentang keselamatan haiwan untuk megelakkan daripada digigit haiwan:
  1. Jauhkan diri dari haiwan yang sakit
  2. Jangan kacau haiwan apabila ia sedang makan
  3. Jangan cuba memisahkan haiwan-haiwan yang sedang bergaduh
  4. Jangan mendekati atau bermain dengan apa-apa haiwan liar
Bilakah saya perlu menghubungi doktor?
Doktor perlu dihubungi apabila:
  • Anak digigit atau dicalar haiwan
  • Anak berhubungan dengan haiwan yang kelihatan sakit
 
Maklumat utama:
  • Rabies adalah kuman virus yang menyerang sistem saraf manusia
  • Apabila tanda-tanda Rabies bermula, ia biasanya mendatangkan maut. Akan tetapi, vaksin Rabies jika diberi awal selepas gigitan haiwan Rabies, penyakit ini dapat dielakkan dan nyawa kanak-kanak dapat diselamatkan.
  • Kanak-kanak boleh dijangkiti Rabies jikalau kanak-kanak digigit haiwan Rabies ataupun apabila terdapat lukaan kulit yang dijilat haiwan pembawa Rabies. Rabies juga dapat dijangkiti apabila kanak-kanak menyentuh mata atau mulut dengan tangannya yang terkena air liur haiwan pembawa Rabies.
  • Tanda-tanda hanya bermula selepas 1 minggu hingga 1 tahun selepas dijangkiti Rabies. Puratanya adalah 2 bulan
  • Vaksin untuk Rabies perlu diberikan serta merta selepas kanak-kanak berhubung dengan haiwan yang dijangkiti and disyaki dijangkiti Rabies. Apabila tanda-tanda Rabies bermula, malangnya tiada rawatan tertentu boleh diberikan
  • Berhati-hati semasa bersama dengan haiwan peliharaan dan haiwan liar untuk mengurangkan risiko menghidap penyakit Rabies
Saya harap penjelasan saya mudah difahami dan dapat membantu ibu dan bapa sekalian lebih memahami penyakit berbahaya ini. Sekian, terima kasih.
 

Contact Pasir Gudang Specialist Hospital Call: 07-257 3999
Email: pgsh@kpjpgsh.com